Tajuk : Sembilu Jiwa.
Angin
malam bertiup lembut menyapa seraut wajah yang sedang asyik termenung di
jendela. Aisya memeluk tubuhnya bagi mengurangkan kedinginan malam yang menusuk
hingga ke sum- sum tulangnya. Dilontarkan pandangan kosongnya ke arah jalan
raya yang agak lengang. Fikirannya menerawang jauh entah ke mana.
“Hai, jauh termenung. Ingat kat
siapa pula ni?”
Aisya tersentak. Lamunannya terhenti. Kehadiran
Umairah, teman sebiliknya membawa fikirannya kembali ke alam realiti.
“Takde apalah. Saja ambil angin,” balas
Aisya dalam nada yang perlahan. Dialihkan pandangannya ke arah teman baiknya
itu, namun renungannya masih kosong.
“Tak elok tau mak dara duduk depan
jendela lama-lama. Nanti bila masuk angin, takde pak teruna yang nak, tau. Jadi macam biskut lemau, siapa
pun tak nak makan,” kias Umairah dalam jenaka. Sememangnya sejak pulang dari kampung
dua hari lepas, perangai Aisya sedikit berubah. Selalu menyendiri dan kerap termenung.
“Kenapa ni? Macam ada masalah aje.
Cerita lah dekat aku,” Umairah merapati Aisya yang sedang kemurungan. Perlahan
bahu rakannya itu dielus lembut. Hasrat hati ingin berkongsi seandainya itu
dapat mengurangkan kemurungan Aisya.
“Takde apalah. Jangan lah kau risau.
Aku hanya berangan tadi,” Aisya cuba mengukir senyuman semanis mungkin untuk
menutup kekusutan yang melanda jiwa.
“Berangan! Kau berangan nak kahwin
dengan anak raja ke?”
“Kenape,tak boleh ke? Manalah tahu
kalau-kalau nasib aku berubah. Kau tak suka ke kawan kau kahwin dengan anak raja?”
tempelak Aisya.
Umairah ketawa. Lucu agaknya dengan
kenyataan Aisya.
“Sudah sudah ler berangan tu. Jom tidur, esok kan ada kelas . Mata aku pun
dah berat ni.” Umairah mengeliat halus.
Aisya di sisi masih tidak berganjak.
Masih mengharap tiupan angin datang menyapa.
“Kau tidurlah dulu, aku tak ngantuk
lagi.”
“Suka hati kau lah. Aku nak tidur
dulu. Tapi kalau ada masalah, jangan simpan sorang-sorang ya. ‘As a friend’,
aku masih larat nak dengar masalah kau tu,” pujuk Umairah perlahan, sempat berpesan
sebelum membiarkan Aisya kembali
berseorangan melayan perasaan. Realitinya Umairah sendiri tidak begitu
mengetahui latar belakang Aisya. Bagi Umairah, Aisya merupakan seorang wanita
malang yang diceraikan suami serta mempunyai dua orang anak yang ditinggalkan
bersama ibunya di kampung dan berlatar
belakangkan keluarga ternama.
“Mampukah aku menanggung dugaan ini
seorang diri, pastikah ada kebahagiaan yang menyusul nanti?” wajahnya diraup perlahan. Daun tingkap ditutup
setelah dirinya puas menikmati udara malam yang segar. Langkahnya diatur lemah
ke arah katil. Merebahkan tubuhnya di atas tilam. Puas sudah dicuba, namun
matanya masih belum mahu terpejam. Masih terang untuk menerima kegelapan malam.
Sudah lima semester Aisya menyambung pengajiannya di kampus Universiti
Utara Malaysia, Sintok ini. Bermaksud sudah
dua setengah tahun Aisya mengenali Umairah lantas menjadi teman baik
yang sudi berkongsi suka duka kehidupannya. Aisya dan Umairah sebenarnya seorang guru sekolah
rendah yang menyambung pengajian pada peringkat sarjana di sini. Berbeza dengan
Umairah yang masih belum berpunya sedangkan Aisya masih mengharapkan kehadiran
seseorang bagi mengisi kekosongan hati yang ditinggalkan.
Pertemuan yang tidak diduga dengan seseorang
yang seiras dengan Emran di plaza tol
Gurun dua hari lepas tenyata membuatkan hidup Aisya tidak keruan. Aisya pasti itu adalah Emran walaupun susuk lelaki itu berbeza daripada Emran yang dikenalinya dahulu. Lelaki itu
kelihatan begitu tampan dengan berkot dan bercermin mata hitam, ketampanan itu
lebih terserlah dengan kereta Audi yang dipandunya. Senyuman lelaki itu yang menampakkan kedua-dua lesung pipitnya
membuatkan Aisya lebih yakin bahawa itu adalah Emran, lelaki yang pernah
bertakhta di hatinya suatu ketika dahulu.
Lelaki itu menoleh apabila terasa dirinya
diperhatikan. Cepat-cepat Aisya memalingkan wajahnya, bimbang nanti dia
tersalah orang.
“Jika benar lelaki itu adalah Emran,
kenapa dia seolah-olah tidak mengenali
aku?” getir hati Aisya sendirian.
Segalanya kembali terimbau di ingatan. Masih segar di ingatan Aisya wasiat
terakhir papanya iaitu Dato’ Azman agar Aisya menerima pinangan keluarga Emran
rakan baik papanya. Walaupun Emran dan
Aisya belum pernah bersua muka, namun
mereka akur . Perkahwinan yang terbina dalam usia Aisya seawal lapan belas tahun bukanlah penghalang
kebahagiaan mereka berdua. Aisya masih meneruskan pengajiannya di kolej dan Emran menyambung legasi perniagaan
keluarganya.
Namun,
panas yang diharapkan sehingga ke petang rupanya gerimis mendatang di tengah
hari. Mendung berarak menyelimuti
kehidupan damai mereka. Kesungguhan Aisya memberi saranan kepada suaminya agar menerima
teman baiknya bekerja di firma suaminya
ternyata mengundang padah.
Terkadang
Aisya tidak sanggup lagi bertapak di
bumi bertuah milik Emran. Berdepan dengannya Aisya tidak sanggup. Seminit, satu jam,
seminggu, setahun dan akhirnya menjadi bertahun-tahun. Ah, terlalu lama Aisya
menipu dirinya sendiri. Bibir merelakan, namun hati tidak. Lidah mengiakan tapi
sesugguhnya batin Aisya cukup terseksa. Jiwanya parah kerana penderaan yang
tiada akhirnya. Kalau permukaan hatinya seperti kaca, pasti hanya calar dan
luka dapat di lihat dan berderai terhempas ke lantai.
Setahun sebelum itu, Emran
melafazkan kata maaf kerana terpaksa melukakan hati perempuannya. Berdosa pada
isteri tidak sebesar melakukan dosa pada Tuhan. Melanggar hatinya mungkin boleh
dimaafkan tetapi melanggar hukum Tuhan, pasti neraka balasannya.
Emran tidak mahu terus-terusan
menghimpun dosa hitam atas nama kesetiaan terhadap perkahwinan yang rapuh
seperti kaca. Mahu meruntuhkan atau terus bertahan, kuasa mutlak di tangan nakhoda
bernama suami. Bagi pihak Aisya yang berdiri atas nama seorang isteri yang
teraniaya, Emran tidak mampu dimaafkan.
Atas apa pun alasan atau keadaan,
sekiranya diberi hak untuknya mengahwini perempuan kedua, Emran seharusnya juga
memberi hak kepada Aisya untuk bebas daripada ikatan perkahwinan yang tiada manisnya
lagi.
Bagi Aisya, dia merupakan insan
biasa yang imannya senipis bulu ayam dan Emran juga bukan lelaki sehebat
Rasululullah. Aisya pasrah dengan ketentuan itu, lantas Aisya biarkan Emran
membina sendiri syurga dunianya.
“Abang akan saksama dalam mengagihkan
kasih. Ini janji abang pada Sya.”
“Abang terlalu biasa berjanji. Dulu
abang berjanji akan setia selamanya kepada cinta kita walaupun ia terbina selepas
kita kahwin. Kata abang, tiada satu pun luka yang akan merosakkan kasih sayang
kita,” tempelak Aisya.
“Tapi itu dulu, sebelum abang
mengenali dia. Dia terlalu istimewa
seperti istimewanya Sya di hati abang.”
“Ayat sama abang ucapkan pada Sya
dulu. Sya teratas di hati abang, tapi kejayaan abang rupanya merubah segalanya.
Abang curang, malah abang memilih perempuan yang paling dekat dengan Sya. Hati
Sya hancur, abang,” bergetar suara Aisya menahan tangis.
“Kami tidak ingin ianya berlaku tapi
percayalah, kasih antara kami telah tersurat sejak azali. Dia jodoh abang. Jika
Sya dapat menerima kenyataan dan hakikat yang tertulis ini pasti Sya dapat
memaafkan Zulaikha dan abang.”
“Sya tidak akan berdendam dengan
abang atau Zulaikha. Kita akan tetap bersahabat demi janji Sya pada arwah papa.
Tetapi izinkan Sya pergi dari hidup abang. Sya kira perpisahan akan lebih
mententeramkan jiwa Sya,” air mata yang tertahan sejak tadi gugur juga
akhirnya. Hati perempuan Aisya benar-benar terluka umpama dirobek dengan
sembilu dan belati tajam. Seperti yang
dipinta Aisya, Emran melepaskan Aisya dengan cara terhormat walaupun hatinya
tidak merelakan perpisahan itu.
“Ya
Tuhan, kau menjanjikan ‘payung emas’
untukku namun aku benar-benar tidak mampu menjadi seperti Siti Khadijah.
Ampunkan aku Ya Allah.”
Masih
Aisya ingat dulu, Zulaikha datang padanya. Merayu seperti pengemis.
“Tolonglah
Sya, aku tiada teman lain selain dirimu. Hanya pada kau aku berharap. Anak
kecilku ini sudah tiga hari meneguk air
suam kerana aku tidak mampu membeli susu untuknya. Tolonglah aku dapatkan kerja
di syarikat suamimu,” air matanya deras mengalir .
Hidup
Zulaikha menjadi gelap gelita setelah suaminya meninggal dunia dalam kemalangan
jalan raya. Aisya menolong sedayanya. Ketika itu, Syara Enterprise gabungan
nama Aisya dan Emran sedang terbina daripada duri dan ketabahan yang bukan
sedikit, malah separuh daripada harta Emran dilaburkan untuk membina empayar
perniagaan ini.
Emran
percaya Tuhan akan menolong hamba-Nya yang tidak putus berusaha dan berdoa.
Kata Emran, Aisya adalah kekuatannya. Daripada rebah, mereka merangkak cuba
bangun tanpa mengalah dan akhirnya Syara Enterprise berdiri megah sehingga saat
itu. Siapa sangka, ujian kemewahan yang Tuhan berikan telah menyongsangkan
hatinya. Emran terlanjur dengan Zulaikha, lantas perempuan itu hamil dan
akhirnya mereka terpaksa berkahwin. Sehingga kini Aisya berasa terlalu jijik untuk
berhadapan dengan perempuan yang telah merobohkan mahligai sucinya bersama
Emran.
Aisya
merasakan dialah perempuan bodoh yang terlalu percaya kepada kesetiaan seorang
suami dan terlalu yakin bahawa tidak akan ada pengkhianatan dalam ikatan
persahabatan.
“Maafkan
aku, Sya! Segalanya berlaku begitu pantas sehingga aku tidak dapat menghalang
cinta kami daripada menguntum. Aku terlalu menyintai Emran, Sya.”
“Kau
tidak bersalah, Zulaikha. Bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi. Mungkin
salah aku kerana terlalu mempercayai dia. Mungkin juga aku bukan seorang isteri
yang baik, atau mungkin aku berdosa di mana-mana dan inilah cara Tuhan untuk
menyedarkan khilafku.”
“Aku
yang merobohkan istana bahagiamu, Sya,” ujar Zulaikha kesal. Air matanya
merembes laju.
“Jodoh
pertemuan bukan ketentuan kita, Ika. Aku doakan kau bahagia,” Aisya berlalu
pergi bersama air mata yang berderai.
Sejak
itu, Aisya semakin mengenali siapa Zulaikha, teman sepermainannya sejak kecil.
Dialah teman menangis dan ketawa dan dialah juga yang menyebabkan Aisya lari semakin jauh daripada Emran sehingga
merenggut rindu dan kasih-sayang anak-anak terhadap papa mereka.
“Sya
tidak boleh memisahkan kami. Mereka juga anak-anak abang. Mereka tanggungjawab
abang dan mereka berhak mendapat kasih-sayang abang,” ujar Emran penuh
toleransi apabila Aisya mengambil keputusan untuk berpindah ke negeri lain.
Keputusan
itu Aisya ambil agar dia dan anak-anaknya jauh daripada Emran dan Emran tidak
lagi datang saban waktu ke rumah Aisya kerana Zulaikha tidak senang apabila
Emran masih memberi perhatian kepadanya dan anak-anak.
Emran
seperti menagih kasih lama. Setiap kali Emran datang menjenguk Aisya dan
anak-anak, setiap kali itulah Zulaikha seperti merayu Aisya agar tidak lagi
mengganggu suaminya. Katanya, Aisya
tidak lagi berhak kerana hak Emran hanya untuk diri dan anak-anaknya sahaja
malah Zulaikha sering menuduh Aisya sengaja mencipta ruang untuk bertemu
dengan Emran.
“Sya
sudah muak dengan isteri abang. Sya lebih bahagia kalau abang tiada.”
“Sya
merajuk?”
“Sya
muak dan jelak dengan dengan sikap Zulaikha.”
“Tapi
bagaimana dengan anak-anak kita, Sya? Mereka perlukan abang.”
“Lama-kelamaan
mereka akan faham. Berjauhan akan mengeratkan kasih-sayang. Apabila cuti
sekolah, abang datanglah ambil mereka.
Sya tak akan halang tapi untuk
berhadapan dengan Zulaikha dan melayan amuknya Sya sudah tidak sanggup lagi.”
“
Tapi ini bukan caranya. Sya menyeksa mereka yang tidak bersalah. Kita yang
bersalah, Sya.”
“Aku
yang bersalah? Ah, jangan salahkan aku Emran. Engkau yang curang. Kau yang
meretakkan kebahagiaan yang kita bina,” detik hati Aisya sendirian.
“Sya,
kita rujuk semula. Kali ini abang berjanji, abang tidak akan abaikan Sya dan
anak-anak lagi. Tolonglah Sya, demi anak-anak dan cinta kita.”
Cinta?
Apakah makna cinta di hati Emran? Cinta bukan satu penaklukan , bukan juga
penderitaan tapi kebahagiaan dan seluruh hidup adalah penyerahan yang tulus
tanpa ada persaingan dan perebutan.
Aisya
akhirnya kembali semula ke tengah dunia Emran walaupun tanpa ikatan yang amat
diharapkan apabila Adam, anak sulung mereka mengalami masalah jantung. Emran tidak percaya Aisya
dapat menjaga Adam dengan baik tanpanya.
Emran mahu Aisya kembali. Dia tidak
mahu apa-apa terjadi dengan Adam. Dia berjanji akan merawat Adam sehingga
sembuh walaupun terpaksa berhabis wang. Aisya akur demi Adam kerana Aisya tahu
kos untuk merawat Adam bukan sedikit , jika Aisya berkeras, egonya pasti akan
memudaratkan Adam. Aisya tidak mahu perkara buruk terjadi kepada anak-anaknya.
Merekalah nyawanya.
“Jangan rasa terhutang budi pada abang, Sya. Adam juga darah daging dan tanggungjawab abang. Jika Sya masih rasa begitu, bayar sahaja dengan menerima abang kembali,” Emran masih mengumpan Aisya, mendesak dan merayu agar mereka bersatu kembali.
“Jangan rasa terhutang budi pada abang, Sya. Adam juga darah daging dan tanggungjawab abang. Jika Sya masih rasa begitu, bayar sahaja dengan menerima abang kembali,” Emran masih mengumpan Aisya, mendesak dan merayu agar mereka bersatu kembali.
“Penerimaan Sya hanya sekali, abang.
Jangan desak Sya lagi.”
“Kau memang keras kepala, Sya.”
“Itulah Sya sejak dulu lagi, tapi
Sya akur dengan kehendak papa untuk menerima abang dahulu walaupun Sya terpaksa
mengorbankan usia remaja Sya demi untuk berkahwin dengan abang. Namun apa
gunanya lagi Sya berlembut hati dengan abang jika segala pengorbanan Sya dahulu
dibalas dengan racun berbisa. Semuanya tidak berbaloi, abang,” Aisya melepaskan
gelodak yang terbuku di hatinya selama
ini.
“Kau semakin tabah mengharungi hidupmu.
Dulu abang sangka, kau akan tewas dan tidak mungkin dapat hidup tanpa abang. Rupa-rupanya
abang tersilap.” Aisya hanya membatukan dirinya.
Adam akhirnya melepasi tahap
kritikal penyakit mautnya. Lapang dada Aisya tidak terhingga. Bulat keputusan
sudah Aisya buat.
“Sya tetap akan berhijrah dari
daerah ini , abang. Di sini terlalu banyak kenangan dan monumen antara kita,”
ucapku dalam gementar. Dia terkelu. Aisya tahu, kali ini Emran tidak berdaya
lagi untuk menghalang hasrat Aisya. Seminggu sebelum Aisya pergi, Zulaikha
datang kepadanya dengan esak tangis yang membuai rasa. Aisya kira, Zulaikha juga akan menghalang
kepergiannya demi untuk menebus segala
kesilapannya namun Aisya tersilap, bukan itu yang mahu diucapkan tetapi
segalanya mengenai Emran. Zulaikha khabarkan bahawa Emran telah berkahwin lagi
sebulan yang lepas. Aisya terkesima
seketika. Mungkin saat itu Zulaikha dapat menyelam gelora rasa yang pernah
Aisya rasa dulu. Sampai hati Emran.
Aisya meninggalkan daerah itu tanpa menoleh ke belakang lagi. Emran
seolah-olah melupakan janji dan tanggungjawabnya terhadap anak-anak. Biarlah,
mungkin Emran sekarang berbahagia dengan kehidupannya sendiri. Namun, Aisya
pasrah. Penghijrahannya membuatkan hidupnya lebih tenang dan damai. Kedua-dua
anaknya kini di bawah jagaan ibunya seketika sementara Aisya menyambung
pelajarannya di bumi Universiti Utara Malaysia ini.
“Masya Allah, kau masih belum tidur
lagi Sya? Dah hampir subuh nie,” Aisya tersentak apabila di sapa oleh Umairah.
Jauh
sungguh lamunannya, terimbau kenangan yang seakan-akan dilupakannya sebelum
ini. Memori yang kembali terimbau itu menyebabkan hatinya resah. Lantas, pada
kesempatan itu, Aisya bingkas bangun daripada katilnya menuju ke bilik air, berwuduk,
bersolat dan bertahajjud memohon kepada Allah agar dirinya diberi ketenangan
dalam menempuh hari-hari mendatang. Misteri lelaki yang seiras dengan wajah
Emran seakan dilupakan. Yang terbayang di wajahnya sekarang ialah wajah dua
orang permata jiwanya Adam dan Sarah. Aisya berjanji akan terus mendidik
kedua-dua mereka menjadi insan-insan yang berguna. Lama Aisya berteleku di atas
sejadah sehingga kedengaran azan Subuh sayup-sayup berkumandang dalam
keheningan pagi yang damai.
Dia
telah memilih sendiri simpang mana yang hendak disusuri sepanjang hidupnya .
Dahulu pilihannya telah membawanya ke jalan yang paling berliku. Setiap belok
yang ditempuhinya menjanjikan bencana. Setiap kelok bernazarkan malapetaka.
Lalu dia memutuskan bahawa masa telah tiba untuk membuat pilihan sendiri.
Pilihan yang bakal membawanya ke mercu jaya.
-Tamat-
Wan Ita
UUM Sintok
OK TAK?
ReplyDelete